KERJA DAN TENAGA
Objektif:
Setelah mempelajari bab ini pelajar boleh,
1. mentakrif kerja ,tenaga kinetik,tenaga keupayaan,momentum dan impuls.
2. memahami hubungan kerja-tenaga dan hubungan daya-momentum.
3. memahami hukum Keabadiaan Tenaga dan menggunakannya dalam penyelesaian masalah gerakan.
4. memahami hukum Keabadian Momentum Linear dan menggunakannya dalam masalah perlanggaran kenyal dan tak kenyal.
Pendahuluan
Tenaga
adalah suatu keperluan yang asas bagi makhluk sejagat bagi menjalankan
kehidupan. Tanpanya manusia dan haiwan tidak dapat bergerak. Oleh itu manusia
sentiasa berusaha meneroka dan mencari sumber tenaga yang dikhuatiri kehabisan.
Walaupun manusia peka dengan kepentingan dan nilai tenaga tetapi manusia lupa
dan tidak menghargai Pencipta sebenar yang menyediakan segala sumber tenaga
untuk kesejahteraan hambaNya.
Konsep tenaga dalam masyarakat awam diertikan sebagai sesuatu yang berkaitan dengan elektrik,bahan bakar (petroleum, gas asli dan arang batu), cahaya suria dan permakanan. Semua bahan ini hanya merupakan sumber yang boleh menjana tenaga untuk melakukan kerja. Dengan ini konsep tenaga dan konsep kerja saling berkait rapat. Dalam Alam Sejagat tenaga terdapat dalam pelbagai bentuk.Antaranya,tenaga mekanik,tenaga kimia,tenaga elektromagnet,tenaga haba,tenaga nukleas dan sebagainya.
Dalam masalah gerakan,konsep tenaga mempunyai kelebihan,iaitu
1. tenaga merupakan kuantiti skalar - lebih mudah diolah berbanding kuantiti vektor seperti pecutan, daya dan sebagainya.
2. sifatnya yang abadi - memudahkan analisis dalam sistem yang terdiri daripada banyak jasad.
Adalah sukar untuk rnentakrif tenaga yang meliputi pelbagai jenis tenaga. Oleh sebab itu dalam bab ini takrifan dan penjelasan akan ditumpukan kepada tenaga mekanikal. Secara am ditakrifkan bahawa,
‘Tenaga ialah ukuran kemampuan objek (sistem) melakukan kerja’